Tonton filem terbaik Iran

March 13, 2018 - tonton

Penggemar filem Iran disarankan tidak melepaskan peluang keemasan menonton enam filem terbaik negara itu sempena penganjuran Festival Filem Iran (FFI) 2018 buat julung kalinya di negara ini.

Festival ini dianjurkan Kedutaan Republik Islam Iran dengan kerjasama Golden Screen Cinema (GSC) dan disokong Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Farabi Film Foundation serta Hoze Honari Organization.

Sempena FFI yang bermula sejak 7 Mac lalu dan berakhir pada 17 Mac ini, enam filem terbaik Tehran ditayangkan secara percuma kepada orang ramai.

Enam filem hebat itu ialah Sweet Taste of Imagination, The Queen, Ceasefire 2, Where are My Shoes, Under a Smoky Roof dan Crazy Castle.

Menurut Pengarah FFI Mohammad Reza Shams, semua karya hebat itu pernah memenangi beberapa anugerah di Festival Filem Fajr 2017 dan di peringkat antarabangsa.

“Tayangan filem itu membabitkan pawagam GSC terpilih iaitu GSC Pavillion, GSC Mid Valley (7 hingga 11 Mac lalu), GSC Gurney Plaza (12 hingga 14 Mac) dan GSC Paradigm Johor Bahru (15 hingga 17 Mac).

“Enam filem ditayangkan itu dalam bahasa Parsi dengan sari kata bahasa Inggeris.

“Penonton juga berpeluang bertemu dengan barisan karyawan tersohor Iran apabila sutradara Abolhassan dan Azita akan hadir pada majlis tayangan filem di Johor Bahru pada 15 Mac (esok) ini,” katanya.

Mohamad Reza ditemui pada majlis perasmian FFI yang berlangsung di GSC Pavillion, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Majlis perasmian itu dihadiri Pesuruhjaya Republik Iran di Malaysia Marzeih Afkham, Ketua Pegawai Eksekutif GSC Koh Mei Lee dan Kaunselor Budaya Kedutaan Republik Islam Iran di Malaysia Ali Mohammed Sabeghi.

Tidak ketinggalan ia dihadiri pengarah filem terkenal Iran, Pooran Derakshandeh dan aktres Merila Zarei.

Selain sesi tayangan filem, kata Mohamad Reza, festival itu turut menganjurkan module perkongsian ilmu yang dikendalikan pengarah Abolhassan Davoodi dan Pouran Derakhshandeh di Aswara.

“Menerusi penganjuran FFI, hubungan strategik melalui seni filem antara Malaysia dan Iran akan lebih erat disamping dapat membuka ruangan jaringan dua hala,” katanya.

Keterangan mengenai tayangan percuma, sila layari http://www.gsc.com.my atau http://www.iranianfilmmalaysia.com.

More tonton ...

  • Tonton 14 filem hebat JepunTonton 14 filem hebat Jepun Edisi ke-14 Festival Filem Jepun (JFF) 2017 kembali menghangatkan pawagam Golden Screen Cinemas (GSC) dengan 14 karya hebat dari negara matahari terbit itu untuk tatapan peminat negara […]
  • Jom tonton wayang percumaJom tonton wayang percuma Sempena ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik Thailand dengan Malaysia, kerajaan negara gajah putih itu ‘belanja’ penggemar filem lima karya terbaiknya secara percuma menerusi Pesta Filem […]
  • GOASEAN Sertai Ruangan OTT, Jalin Kerjasama Dengan Tonton, DimsumGOASEAN Sertai Ruangan OTT, Jalin Kerjasama Dengan Tonton, Dimsum PUTRAJAYA, 25 Mac (Bernama) -- GOASEAN, saluran televisyen pelancongan ASEAN yang pertama di dunia, menjalin kerjasama dengan 'Tonton', ruangan over-the top (OTT) dan 'Dimsum', […]

› tags: tonton /