Tiada tiket, penyokong Selangor tonton final di restoran

December 12, 2015 - tonton

SHAH ALAM: Selepas gagal mendapatkan tiket menyaksikan perlawanan akhir di Stadium Shah Alam malam ini, sebuah kelab penyokong Selangor memilih untuk

menzahirkan sokongan mereka dengan cara lain.

Lebih 100 ahli Kelab Penyokong Anak Selangor (ASFC) ini sepakat untuk menjadikan Restoran Darul Ehsan Maju, Seksyen 19, di sini, sebagai ‘Stadium Shah Alam Mini’ bagi menyaksikan final berkenaan menerusi siaran langsung dari kaca televisyen.

Selangor dan Kedah bakal berentap pada aksi final di Stadium Shah Alam tepat jam 9 malam ini.

Presiden ASFC, Mohd Faizal Wahid, berkata, meskipun terkilan kerana tidak dapat bersama-sama penyokong lain di dalam stadium, namun mereka tetap mahu memberi sokongan kepada pasukan Selangor walaupun dalam cara yang berbeza.

“Ini saja alternatif lain yang mampu kami buat untuk menzahirkan sokongan kepada pemain Selangor.

“Semoga mereka tahu kami tetap memberi sokongan padu meskipun sekadar menonton di restoran saja.

“Kami turut menjemput mana-mana penyokong yang tidak mempunyai tiket untuk sama-sama menyertai kami menghangatkan lagi pertembungan yang bakal berlangsung malam ini,” katanya.

Mohd Faizal berkata, mereka juga akan turut memakai jersi Selangor, mengenakan mafla merah kuning dan membawa bendera Selangor sama seperti ketika menyaksikan perlawanan di stadium.

“Walaupun sekadar menonton televisyen, namun kami cuba mewujudkan suasana seakan-akan di track dan akan turut melaungkan sorakan semangat untuk pasukan Selangor.

“Setidak-tidaknya, ini sedikit sebanyak dapat mengubat hati kami selepas tidak dapat menyaksikan Selangor beraksi di pentas akhir di track keramat kami. Kami berdoa Selangor menjadi juara,” katanya.

More tonton ...

› tags: tonton /