Penyokong serik tonton bola di Stadium Hang Jebat

March 2, 2016 - tonton

MELAKA: “Inilah kali pertama dan terakhir saya ke stadium,” kata seorang lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Aiman, salah seorang mangsa kejadian provokasi melampau sehingga berlaku kekecohan antara penyokong Melaka United (MU) dan Negeri Sembilan ketika aksi Liga Perdana di Stadium Hang Jebat, malam kelmarin.

Dia tidak menyangka menjadi mangsa dalam kekecohan yang pada mulanya hanya membabitkan provokasi penyokong pasukan pelawat ke atas penyokong Melaka.

“Baju saya koyak dan beberapa bahagian badan saya lebam. Malah, ada penyokong yang cedera ringan. Kejadian rempuhan dan tolak menolak berlaku begitu pantas sehingga saya tidak mengenali mereka yang melakukannya.

“Inilah kali pertama saya menjejak kaki ke Stadium Hang Jebat atas ajakan rakan untuk menyaksikan perlawanan antara MU dan Negeri Sembilan.

“Bagaimanapun, ia berakhir dengan mimpi ngeri dan saya menjadi takut sekarang,” katanya sambil menunjukkan bajunya yang koyak dalam kekecohan itu.

Sementara itu, Timbalan Presiden Melaka United Soccer Association (MUSA), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata, beliau kesal dengan kejadian itu dan berharap ia tidak berlaku lagi pada masa akan datang demi persaudaraan.

“Saya bagi pihak MU memohon maaf dan menyambut baik permohonan maaf Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS). MUSA juga akan menghantar permohonan maaf rasmi kepada PBNS,” katanya.

“Saya berterima kasih kerana tindakan pantas pihak keselamatan berjaya meredakan ketegangan yang berlaku antara penyokong kedua-dua pasukan sekali gus menyelamatkan saya,” katanya.

Semalam BH Sukan melaporkan provokasi antara penyokong MU dan Negeri Sembilan dipercayai menjadi punca kekecohan ketika aksi Liga Perdana membabitkan kedua-dua pasukan di Stadium Hang Jebat, malam kelmarin.

Insiden dipercayai bermula ketika perlawanan memasuki minit ke-70 selepas berlaku tolak menolak diikuti beberapa penyokong bergelut antara satu sama lain di bahagian kanan belakang pintu gol Negeri Sembilan.

Beliau berkata, pihaknya akan meningkatkan tahap keselamatan dan langkah pencegahan bagi menangani kejadian itu daripada berulang.

More tonton ...

› tags: tonton /